21 July 2007

Mutu perkhidmatan awam meningkat

Berita Harian


Pertubuhan antarabangsa akui naik kepada 57 peratus

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan antarabangsa mengenai pengurusan kualiti perkhidmatan awam mengakui perkhidmatan awam di negara ini semakin meningkat sejak tiga tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata laporan terbaru Institut Pembangunan Pengurusan menunjukkan kualiti perkhidmatan awam meningkat daripada 53 peratus pada tahun lalu kepada 57 peratus bagi tahun ini.

“Sebelum ini, Laporan Pengurusan Antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan awam meningkat berdasarkan indeks keberkesanan iaitu 79.1 peratus bagi 2005 kepada 80.6 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2006 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di sini, malam tadi. Hadir sama, Ketua Pengarah Jupem, Datuk Hamid Ali.

Seramai lima kakitangan menerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, manakala 381 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Mohd Sidek berkata, kerajaan bukan saja mahu meningkatkan persepsi perkhidmatan awam, malah memastikan pelanggan mendapat faedah daripada penambahbaikan yang dilaksanakan.

“Saya berpandangan bahawa biarlah pelanggan kita dan pihak lain memberikan pendapat mengenai mutu perkhidmatan yang diberikan. Menjadi tugas kita untuk meningkatkan sistem perkhidmatan dan penyampaian secara berterusan dan lebih gigih.

“Selaras lonjakan gaji yang akan dinikmati kakitangan awam pada bulan ini, kerajaan yakin kita dapat memberi perkhidmatan terbaik dan terus cemerlang sekali gus terbilang,” katanya.

Oleh itu, Mohd Sidek berkata, kakitangan awam perlu berjanji untuk terus bekerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sebagai balasan kepada kerajaan yang meluluskan kenaikan gaji.

Beliau berkata, keperibadian tinggi dan jati diri kakitangan awam harus diamalkan bagi membawa perkhidmatan awam bertaraf kelas pertama.

“Keputusan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam kerana yakin kita dapat berkhidmat lebih cemerlang. Perdana Menteri juga mengingatkan kita supaya menjauhi rasuah.

“Perdana Menteri mahukan kakitangan awam cepat memproses urusan pelanggan dan semua kakitangan mesti mengambil perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.

No comments: