18 June 2007

MB nasihat kakitangan jabatan saling membantu

Berita Harian


Mohamad Hasan mahu penjawat awam jadikan tugas sebagai ibadat, patuhi peraturan ibarat bersolat

SEREMBAN: Penjawat awam di Negeri Sembilan dinasihatkan bekerja sebagai satu pasukan di bawah satu bendera Jabatan Perkhidmatan Awam bagi (JPA) memastikan sistem penyampaian terbaik diberikan kepada orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau mendapati sebahagian besar penjawat awam bertugas mengikut bendera masing-masing atau jabatan yang diwakili tanpa mempedulikan masalah jabatan dan agensi lain.

"Jika kakitangan JKR secara kebetulan melihat paip bocor di tepi jalan, jangan hanya mendiamkan diri dengan menganggap itu tugas Jabatan Bekalan Air (JBA), sebaliknya membantu melaporkan masalah itu kepada jabatan berkenaan.

"Menerusi kerja secara berpasukan, saya yakin ia dapat membantu mengatasi sebarang kelemahan yang berlaku di jabatan dan menjadikan penjawat awam lebih disegani dan dihormati," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2006 di Wisma Negeri, di sini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamarudin Siaraf.

Seramai 318 kakitangan awam yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu menerima sijil perkhidmatan cemerlang dan wang tunai RM1,000 daripada Menteri Besar sempena majlis itu.

Bilangan penerima itu mewakili kira-kira lapan peratus daripada jumlah keseluruhan 4,098 penjawat awam di negeri ini.

Mohamad juga mahu penjawat awam menjadikan tugasan harian sebagai ibadat dengan mematuhi segala prosedur dan tanggungjawab.

"Sebagai contoh dalam sembahyang lima waktu, kita perlu mematuhinya dan bukannya sembahyang mengikut sesuka hati. Sembahyang ada rukunnya, jika kena rukuk dan sujud, kita kena buat dan jangan terus ke tahiyyatul akhir.

"Begitu juga kerja yang dilakukan seharian, tidak ada jalan singkat. Kita kena ikut dengan penuh tanggungjawab dan amanah dalam setiap tugas yang ditugaskan hingga selesai.

"Jangan pula ada kakitangan yang bertugas di Seremban tetapi bersarapan di Lukut, Port Dickson kerana teh tarik di sana lebih lemak dan sedap hingga boleh menjejaskan tugas yang diamanahkan," katanya.

No comments: