09 June 2007

Kurang kemahiran punca guru gagal manfaat media teknologi

Berita Harian


SAMA ada disedari atau tidak, guru masa kini sentiasa berhadapan cabaran bagi menangani pelbagai gaya pembelajaran yang berlainan ketika mengajar. Kajian juga menunjukkan pelajar mengamalkan pembelajaran berlainan bagi mendapatkan maklumat secara berkesan.

Justeru, guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai strategi dan kaedah terkini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran ke atas anak didik mereka menjadi lebih berkesan dan terarah. Satu daripada cabaran yang terkandung dalam wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh, iaitu masyarakat yang bukan saja dapat memanfaatkan teknologi masa kini, malah menjadi penyumbang pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa depan.

Manusia mempunyai pelbagai keperluan, tetapi keupayaan bagi memenuhi segala keperluannya itu terhad. Namun, manusia dianugerahkan Yang Maha Esa akal yang membolehkannya mengatasi kelemahan dengan menggunakan peralatan atau kaedah tertentu. Peralatan atau kaedah digunakan untuk memenuhi keperluan manusia ini dinamakan teknologi.

Sejak kebelakangan ini, isu Sains dan Matematik dalam bahasa pengantar bahasa Inggeris serta penggunaan teknologi yang membabitkan penggunaan perisian dan perkakasan, banyak diperkatakan dan diberi keutamaan.

Walaupun bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan diintegrasikan dalam mata pelajaran terbabit, kita tidak seharusnya lupa kepada bahasa ibunda. Bahasa Malaysia juga harus diperkasa sama ada dari segi bahasa itu sendiri, mahupun kaedah penyampaian dalam pengajaran dan pembelajaran.

Persoalannya ialah perlukah kaedah dan strategi pengajarannya membabitkan teknologi yang memerlukan penggunaan perkakasan dan perisian seperti mata pelajaran Sains dan Matematik.

Walaupun penggunaan teknologi pendidikan dalam mata pelajaran sastera seperti bahasa Melayu, geografi dan sejarah mudah jika dibandingkan mata pelajaran Sains dan Matematik, kebanyakan guru mata pelajaran Bahasa Malaysia mengalami kekangan dalam penggunaan teknologi, malah ada antaranya tidak berpeluang menggunakan peralatan teknologi ketika pengajaran dan pembelajaran.

Alasan yang biasa didengar ialah tiada peralatan seperti komputer riba dan paparan cecair kristal (LCD) diperuntukan kepada mereka. Kalau ada sekalipun, ia kepunyaan sendiri yang tentunya sukar untuk dikongsi dengan guru lain. Warga Malaysia sedia maklum Bahasa Malaysia adalah mata pelajaran penting.

Jika pelajar gagal dalam mata pelajaran itu, bermakna mereka gagal dalam peperiksaan dan mereka tidak memperoleh sijil. Ia menunjukkan Bahasa Malaysia harus diberi keutamaan sama seperti mata pelajaran Sains , Matematik dan bahasa Inggeris. Bermakna cara penyampaian atau strategi pengajaran dan pembelajarannya mesti sama hebat seperti ketiga-tiga mata pelajaran terbabit.

Kajian menunjukkan pelajar mengingati sesuatu ilmu, iaitu 20 peratus daripada apa yang mereka lihat (penggunaan papan, kapur, marker atau papan putih), 30 peratus daripada apa yang mereka lihat dan dengar (pengajaran secara konvensional), 60 hingga 70 peratus daripada interaksi.

Justeru, untuk memperkasakan Bahasa Malaysia, maka cara penyampaian ilmu itu seharusnya menggunakan teknologi terkini supaya pelajar kaya dengan bahasa dan mewah dengan ilmu.

Dari kajian yang dilakukan pada 2002, untuk melihat faktor yang mempengaruhi penggunaan media pengajaran dalam pengajaran sains di kalangan guru di zon Ampang, Selangor, wujud hubungan signifikan antara faktor sikap, kemahiran guru, kursus dalam perkhidmatan dan pengurusan sekolah dengan penggunaan media pengajaran di kalangan guru mata pelajaran Sains.

Dari kajian itu, menunjukkan guru bersetuju sikap sebagai faktor utama terhadap penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran dengan nilai minimum puratanya 3.778. Guru bersetuju faktor kemahiran menyebabkan peningkatan penggunaan media di sekolah dengan nilai minimum purata 3.523.

Guru juga bersetuju, pengurusan sekolah sentiasa memberikan galakkan dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan media dalam pengajaran Sains (minimum 3.525) kerana kerajaan menyediakan peruntukan perbelanjaan besar untuk tujuan itu.

Guru bersetuju kursus dalam perkhidmatan menggunakan media penting dalam pengajaran dan pembelajaran dengan minimum purata 4.154.

Banyak kajian yang menunjukkan guru memerlukan latihan untuk meningkatkan kecekapan ikhtisas mereka. Satu daripada faktor penghalang penggunaan teknologi ialah kekurangan kemahiran di kalangan guru.

Satu lagi kajian lain termasuk oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (2002) menunjukkan guru memerlukan latihan dalam perkhidmatan terutama dalam bidang kaedah atau reka bentuk instruksional.

No comments: