06 June 2007

Harap kerajaan lulus cuti bersalin 84 hari

Utusan Online

JOHOR BAHRU 5 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan meluluskan cadangan kakitangan awam wanita diberikan cuti bersalin selama 84 hari.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, cadangan tersebut adalah praktikal walaupun jumlahnya berkurangan enam hari daripada yang dipohon oleh kongres itu sebelum ini.

Menurut beliau, cuti bersalin 84 hari itu akan membolehkan wanita mendapatkan rehat secukupnya selepas bersalin sebelum kembali bertugas.

‘‘Ia juga akan menyuntik semangat mereka untuk meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan selaras dengan kenaikan gaji sektor awam baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota-anggota Kesatuan Pekerja Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini hari ini.

Omar berkata, ketika ini kakitangan awam wanita menikmati cuti bersalin 60 hari dan jumlah itu merupakan yang terendah berbanding sektor awam di beberapa negara lain.

‘‘Kami berharap kerajaan dapat mengumumkan perkara ini pada pembentangan bajet September ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyarankan agar cuti bersalin kakitangan awam dipanjangkan daripada 60 kepada 84 hari.

Selain itu, kata Omar, CUEPACS juga berharap peruntukan gaji penuh bagi wanita bersalin dapat ditingkatkan kepada tujuh orang anak berbanding lima orang pada masa sekarang.

‘‘Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai jumlah 70 juta rakyat negara ini menjelang 2020,” katanya.

Omar berkata, pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai maklumat tepat bilangan kakitangan awam wanita dalam semua jabatan dan agensi di negara ini.

‘‘Tetapi bilangan mereka tidak kurang 35 peratus daripada 1.02 juta kakitangan awam,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa jabatan-jabatan kerajaan yang belum menyediakan pusat asuhan kanak-kanak (taska) untuk kakitangan mereka agar menyediakan kemudahan itu dengan segera.

Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan kakitangan awam tidak dapat menikmati subsidi RM180 bagi setiap kanak-kanak yang disediakan oleh kerajaan.

‘‘Pada masa ini hanya Putrajaya dan beberapa jabatan sahaja yang menyediakan taska untuk anak-anak kakitangan mereka,” katanya.

No comments: