19 October 2009

Penyelewengan Dalam Penggunaan Kenderaan Milik Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendapati berlaku penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Pulau Pinang pada tahun lepas.

Penyelewengan itu melibatkan pelbagai masalah termasuk penggunaan bahan api berlebihan, penyenggaraan kenderaan di bengkel yang tidak dikhususkan dan kekerapan penggantian tayar yang tidak munasabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri Pahang.

"Kenderaan yang didapati kerap mengisi bahan api adalah kereta jenis Proton Perdana nombor pendaftaran CBD 88 yang dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008.

"Semakan audit juga mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu antara satu hingga dua minit berbanding dengan kuantiti yang diisi," menurut laporan itu.

Bagaimanapun tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan menyebabkan pejabat setiausaha kerajaan menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi pada bulan tersebut.

Dalam pada itu di negeri Perak pula didapati kos penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri adalah tinggi akibat tidak dihantar ke pusat servis yang dikhususkan.

Ini kerana kerajaan negeri tidak menetapkan bengkel khusus untuk menyenggara kenderaan sebaliknya ia dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima daripada syarikat yang berkaitan.

"Menerusi semakan audit terdapat sampel baucar bayaran yang dipilih mendapati kos penyenggaraan berjumlah RM262,256 atau 69.4 peratus untuk kereta Proton Perdana di sebuah syarikat penjual tayar. Berbanding di Syarikat EON Service Sdn Bhd iaitu hanya RM15,197 atau 4 peratus sahaja untuk tempoh 2004 hingga 2008," katanya.

Laporan itu juga mendapati syarikat tersebut dimiliki oleh bukan bumiputera dan kebanyakan alat ganti yang digunakan adalah diimport dari luar negara berbanding Syarikat EON Sdn Bhd daripada keluaran tempatan.

Alasan pejabat SUK mengapa kereta tersebut dihantar ke syarikat itu adalah kerana kenderaan EXCO yang memerlukan penyenggaraan segera sedangkan Syarikat EON Services Sdn Bhd tidak dapat memberikan servis dengan segera.

Masalah kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang iaitu kekerapan penggantian tayar berlaku pada tiga buah kenderaan yang bernombor pendaftaran PED 21, PBF 1 dan PAF 1.

Penyiasatan audit itu juga melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang telah haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.

Katanya penggantian tayar yang terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu juga adalah meragukan.

Sehubungan dengan itu, Pejabat SUK telah menetapkan setiap penggantian tayar perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) dan tayar yang telah digantikan akan disimpan bagi tempoh tertentu mulai 20 Mei 2009.

Secara keseluruhan didapati kebanyakan proses penyenggaraan kenderaan milik kerajaan negeri adalah tidak memuaskan dan tidak mengikut peraturan dan prosedur pejabat SUK.

"Pejabat SUK perlu mengawal perbelanjaan penyenggaraan kenderaan dengan meneliti kos pembaikan yang terlibat dan memilih pusat servis yang menawarkan harga yang munasabah supaya tujuan penjimatan dapat dicapai di samping memastikan hanya penyenggaraan yang perlu sahaja dilakukan," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Perbezaan Besar Harga Pembelian Peralatan Bagi ILP, Kata Ketua Audit

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Seunit alat 'pole platform' yang dibekalkan oleh sebuah syarikat kepada Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Miri di Sarawak berharga RM30,510 manakala alat yang sama dibeli oleh ILP Sandakan dan ILP Kepala Batas masing-masing pada harga RM1,600 dan RM1,240.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, kos pembelian peralatan itu jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan harga yang ditetapkan dalam kontrak pembekalan alat yang sama kepada ILP menunjukkan perbezaan yang ketara.

Ini adalah antara kelemahan ketara yang dikenalpasti oleh Jabatan Audit Negara dalam pengurusan peralatan di tiga institusi latihan iaitu ILP, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan di sini hari ini, kesemua institusi latihan itu di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia.

Laporan itu juga menyebut harga yang ditawarkan oleh pembekal tidak disemak dengan teliti menyebabkan harga peralatan yang sama berbeza dengan ketara di antara ILP.

Laporan itu menyebut perolehan peralatan oleh kementerian itu termasuk beberapa peralatan bernilai RM3.66 juta yang dibekalkan antara 2001 dan 2006 masih tidak digunakan.

Misalnya, laporan itu berkata sembilan jenis peralatan bernilai RM1.42 juta yang dibekalkan kepada ILP Kota Samarahan, Sarawak, antara 2001 dan 2004 bagi kursus fabrikasi logam dan kursus juru elektrik tahap III masih belum digunakan hingga akhir tahun lepas.

Katanya ia adalah kerana kursus itu hanya akan dijalankan awal tahun ini.

Peralatan tersebut termasuk lima unit Micro Plasma Welding Machine yang bernilai RM93,160 seunit dan satu unit CNC Turret Punch Press bernilai RM593,527.

Laporan itu berkata keadaan ini boleh menyebabkan peralatan tersebut terdedah kepada risiko kerosakan dan kos pembaikan dan penggantiannya perlu ditanggung oleh kementerian berkenaan memandangkan tempoh jaminan peralatan itu telah pun tamat.

Laporan itu turut menyentuh nilai kontrak bagi membekalkan peralatan ke ILP Kuala Langat yang bernilai RM61.49 juta di mana nilainya antara 36.6 hingga 53.7 peratus lebih tinggi daripada harga siling projek itu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, laporan itu mendedahkan masalah ILP yang sama dikesan dengan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Misalnya, Kolej Komuniti Kuala Langat menyewa peralatan bagi kursus teknologi elektrik dengan harga sewaan RM137,473 untuk menjalankan teknik penilaian dalam kelas.

Bagaimanapun, peralataan yang disewa itu antara Mac tahun lepas hingga Februari lepas tidak disenaraikan dalam perolehan peralatan kursus.

Dalam pada itu, di Kolej Komuniti Tawau, Sabah, terdapat 10 jenis peralatan bernilai RM494,518 untuk kursus diploma automatif yang diterima sejak 2002 dan 2004 tetapi masih tidak digunakan kerana kursus itu belum dilaksanakan, katanya.

-- BERNAMA

Kelemahan Dalam Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan MOSTI

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan Program Pembangunan Modal Insan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengakibatkan objektif program tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi Tahun 2008, antara masalah lain termasuklah pembiayaan kepada penerima tidak mematuhi syarat kelayakan, kelemahan dalam kontrak perjanjian, kelewatan mengagihkan peruntukan, kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan program.

"Kementerian memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan bagi membiayai latihan serta penyelidikan seramai 6,230 pelajar dan pegawai sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 hingga 2010).

"Bagaimanapun, semakan audit mendapati setakat 31 Dis 2008, seramai tidak kurang daripada 7,010 orang menerima pembiayaan daripada program ini melibatkan perbelanjaan RM153.73 juta iaitu 30.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan dan ini menyebabkan sasaran mengikut skim tidak dapat dicapai," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut MOSTI seharusnya mempertingkatkan promosi menjelaskan tentang program ini terutamanya di kalangan pelajar dan pensyarah Institusi Pengajian Tinggi dan pegawai kementerian atau agensi yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi.

Bagi masalah Ketidakpatuhan Terhadap Kriteria Kelayakan Skim Latihan Kepakaran Teknikal (LKT), semakan audit terhadap 3,452 penerima biayai mendapati hanya 1,152 penerima pembiayaan terdiri daripada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Bagaimanapun, sejumlah RM20.10 juta daripada RM68.71 juta yang dibelanjakan pada tahun 2006 dan 2007 di bawah Skim LKT diluluskan oleh kementerian kepada MDeC Sdn Bhd untuk membiayai projek dan menjalankan kursus yang tidak berkaitan dengan skop di bawah skim itu," katanya.

Peruntukan itu digunakan untuk membiayai 2,300 penerima yang terlibat dengan skim itu termasuk kem kerjaya bertujuan membantu graduan menganggur mendapat pekerjaan, membantu syarikat berstatus MSC Malaysia mendapat pekerja, mengadakan kursus Bahasa Inggeris serta kemahiran berkomunikasi kepada pelajar prasiswazah.

Laporan audit menyebut faktor kelemahan dalam kontrak perjanjian wujud disebabkan tidak semua perjanjian mensyaratkan penerima biasiswa mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester kepada kementerian dan tidak semua perjanjian menetapkan penerima biasiswa perlu berkhidmat dengan kerajaan selepas tamat pengajian.

"Akibat ketiadaan syarat mengenai keperluan mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester, menyebabkan 74 penerima biaya bagi Skim PGD di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara yang diaudit tidak mengemukakan keputusan peperiksaan kepada kementerian," menurut laporan itu.

Hanya mulai Mac 2009, MOSTI mengarahkan supaya universiti memaklumkan kepada penerima biaya untuk mengemukakan laporan kemajuan penyelidikan dua kali setahun.

Laporan Audit mendapati peruntukan 2007 dan 2008 lewat disalurkan kepada pihak berkenaan sehingga terdapat kes peruntukan hanya disalurkan selepas 10 hingga 119 hari kursus dijalankan dan jabatan atau agensi terlibat terpaksa menggunakan peruntukannya sendiri.

Bagi kegagalan mematuhi syarat perjanjian, semakan audit dijalankan terhadap rekod berhubung 20 penerima Skim Hadiah Biasiswa 'National Science Fellowship' bagi tahun 2006 hingga 2008.

"Pada pandangan audit, kementerian dan IPT perlu mempertingkatkan pemantauan untuk memastikan pelajar yang mendapat biasiswa mematuhi syarat kontrak dan mengenakan ganti rugi terhadap mereka yang ingkar."

Semua syarat penting hendaklah dimasukkan ke dalam perjanjian seperti mengkehendaki penerima biaya mengemukakan keputusan peperiksaan semester atau laporan kemajuan penyelidikan," kata laporan itu.

-- BERNAMA

Kakitangan MTPN Bakal Diserapkan Ke Jabatan Pelancongan Negeri

RAUB, 19 Okt (Bernama) -- Kakitangan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) di seluruh negara yang akan ditamatkan kontrak pada akhir tahun ini bakal diserapkan ke jabatan pelancongan negeri-negeri.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bagaimanapun berkata mereka yang terbabit perlulah memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

"Status MTPN akan ditamatkan pada akhir tahun ini dan akan wujudnya jabatan pelancongan di setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Muhibbah dekat sini.

Beliau berkata MTPN sepatutnya dimansuhkan pada Jun lepas tetapi ditangguhkan ke akhir tahun ini bagi membolehkan beberapa perkara termasuk urusan berkaitan 200 kakitangan terbabit diselesaikan.

Pada majlis itu, kira-kira 7,000 penduduk di daerah itu hadir sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Sementara itu, Dr Ng berkata lebih 100 lesen pemandu pelancong di seluruh negara akan dibatalkan pada awal tahun depan.

Beliau berkata penamatan lesen pemandu pelancong itu adalah disebabkan mereka yang terbabit tidak lagi aktif.

"Kementerian ada syarat bahawa setiap tahun akan memperbaharui lesen untuk menentukan perkhidmatan mereka.

"Kita tidak menamatkan kontrak mereka sesuka hati namun ada di antara mereka telah membawa masalah seperti ada yang tidak aktif dalam perkhidmatan dan ada yang tidak menghantar akaun kepada kementerian," katanya.

Beliau berkata setakat ini ada lebih 5,000 pemandu pelancong di seluruh negara.



-- BERNAMA

02 October 2009

Mohon pingat JPP, PTU, KPK diberi elaun

Utusan Online

PADA 31 Julai 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan kadar baru elaun RM2,000 untuk Seri Pahlawan (SP) dan RM1,500 Pingat Gagah Berani (PGB). Terima kasih kerana kerajaan mengiktiraf sumbangan wira-wira negara. Tetapi, persoalannya ialah kenapa hanya penerima SP dan PGB sahaja?

Untuk makluman, kerajaan telah mewujudkan lima pingat ‘KEBERANIAN’, iaitu SP, PGB, JPP (Jasa Perkasa Persekutuan), PTU (Pingat Tentera Udara), dan KPK (Kepujian Perutusan Keberanian). Kecuali SP dan PGB, penerima pingat-pingat tersebut tidak menerima sebarang imbuhan. KEMENTAH telah memajukan cadangan kepada JPM agar penerima-penerima JPP, PTU dan KPK turut diberi elaun. Kecewa sekali cadangan ini telah ditolak oleh JPM. Malah, mereka tidak dijemput untuk mengambil bahagian semasa perarakan Hari Merdeka; hanya penerima SP dan PGB sahaja dijemput.


SULAIMAN">

PDRM kekurangan tenaga penyiasat

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kekurangan pegawai penyiasat yang serius di seluruh negara, sekali gus menimbulkan bebanan tugas terhadap pegawai sedia ada dalam perkhidmatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata keadaan itu menyebabkan ada pegawai penyiasat terpaksa mengendalikan purata 20 kertas siasatan sehari, lebih-lebih lagi berlaku peningkatan kes jenayah sejak kebelakangan ini.

“Kita menyasarkan seorang pegawai untuk 10 kertas siasatan. Itu nisbah yang paling ideal dalam memantapkan operasi JSJ, selain meningkatkan keberkesanan proses penyiasatan dan kadar penyelesaian kes jenayah.

“Bagaimanapun, sasaran itu masih belum dapat dicapai dengan seorang pegawai terpaksa mengendalikan 20 kes sehari. Kita sepatutnya dapat pertambahan tetapi masih belum dapat dilaksanakan atas pelbagai faktor, termasuk ekonomi,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis terima tugas Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) Pasukan, Datuk Acryl Sani Abdul Sani di Maktab PDRM Cheras.

Katanya, tugas seorang pegawai penyiasat tidak hanya bertumpu kepada kertas siasatan, sebaliknya semua laporan dibuat orang ramai, dengan mereka perlu ke lokasi kejadian memeriksa sama ada ia berunsur jenayah atau sebaliknya.

“Di Petaling Jaya saja, purata 1,000 laporan diterima setiap hari. Ini semua perlu dianalisis sebelum kertas siasatan dibuka. Ini yang mengambil masa dan menjadikan tanggungjawab kita lebih berat. Orang ramai meletakkan harapan tinggi pada kita untuk menyelesaikan kes jenayah,” katanya.

Kementerian Luar Masih Kurang Penjawat Awam Bukan Bumiputera - Lee

IPOH, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar menganjurkan pelbagai program dan ceramah mengenai kerjaya di kementerian itu dalam usaha menarik minat orang ramai menyertainya khususnya bukan Bumiputera, kata Timbalan Menterinya Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata masalah kurang minat di kalangan kaum bukan Bumiputera untuk menyertai sektor awam telah menjejaskan usaha kementerian untuk merapatkan jurang komposisi kaum di kementerian itu.

"Masalah ini berpunca dari kurangnya maklumat mengenai kerjaya di kementerian ini dan mungkin kerana mereka tidak mengetahui cara untuk menyertai kami.

"Oleh itu, kita (kementerian) mengadakan siri ceramah dan berbagai-bagai program untuk menarik minat kaum belia dan pelajar sekolah mengenai kerjaya di kementerian ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Diplomasi Awam kementerian itu di sini Jumaat.

Lee berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai peluang kerjaya dengan kementerian itu yang memberi peluang kepada penjawat awam bertugas di luar negara.

Beliau berkata secara keseluruhannya progam berkenaan bertujuan meyakinkan orang awam untuk menyertai Wisma Putra dalam usahanya meningkatkan imej dan tanggapan yang baik mengenai negara di mata dunia.

"Kepada sesiapa yang berminat menyertai kami diminta melayari laman web di www.kln.gov.my untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat dan masa temuduga terbuka diadakan,"katanya.

Selain kelulusan akademik, Lee berkata, calon yang fasih dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa lain mempunyai kelebihan untuk diterima menyertai kementerian yang mempunyai pejabat perwakilan di seluruh dunia.

Program Diplomasi Awam itu yang kedua dianjurkan selepas diadakan di Membakut, Sabah pada Ogos lalu yang bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan Wisma Putra.

-- BERNAMA

30 September 2009

119 Bekas Buruh Jabatan Pelajaran Merayu Bekerja Semula

KUALA TERENGGANU, 30 Sept (Bernama) -- Seramai 119 bekas buruh Jabatan Pelajaran Terengganu yang ditamatkan kontrak sekali lagi merayu Kementerian Pelajaran supaya campur tangan dalam soal pemberhentian kontrak mereka sejajar dengan slogan kerajaan "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan".

Wakil kumpulan itu Zali Chik, 50, berkata sejak ditamatkan kontrak pada Julai lepas, kesemua 119 orang buruh yang terlibat terpaksa menggangur dan melakukan apa sahaja kerja bagi menanggung keluarga.

"Contohnya saya, saya sekarang ini terpaksa mengambil upah memotong getah di kampung walaupun pendapatannya tidak seberapa bagi menanggung lima orang anak yang sedang belajar," katanya.

Zali, yang mempunyai lima anak, termasuk dua orang yang sedang menuntut di universiti, berkata telah banyak rayuan dibuat terutamanya kepada Kerajaan Pusat, namun tiada tanda-tanda positif.

"Semasa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Hulu Terengganu bulan puasa lepas, saya telah serahkan memorandam kepada beliau, tetapi sehingga kini belum ada jawapan," katanya.

Zaki, bekas pekerja am rendah di Sekolah Kebangsaan Tapu, Hulu Terengganu, berharap kerajaan akan mengambil semula 119 buruh ditamatkan kontrak itu bekerja kerana sesetengah daripada mereka berhutang dengan bank.

"Sekarang ini, tiada tempat lagi kami hendak mengadu, tambahan pula anak-anak makin membesar yang perlu ditanggung," katanya.

-- BERNAMA

28 September 2009

Wujudkan Atase Bahasa Melayu Di Kedutaan Malaysia Di Luar Negara

JOHOR BAHARU, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Luar pada Isnin dicadang supaya mewujudkan Atase Bahasa Melayu di kedutaan Malaysia di luar negara sebagai usaha mengembangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata pegawai tersebut bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan ilmu Bahasa Melayu bahkan ilmu mengenai kebudayaan Melayu.

"Pegawai ini akan membantu Atase Pelajaran, Ekonomi dan Ketenteraan. Tugas mereka ialah membuka kelas Bahasa Melayu di Kedutaan Malaysia, yang dengan cara itu Bahasa Melayu akan berkembang sebagai bahasa dunia," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa "Bahasa Melayu Bahasa Dunia", di sini, pada Isnin.

Persidangan tersebut dianjurkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Fakulti Bahasa Universiti Sultan Idris dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor.

Abdul Ghani berkata untuk permulaan, atase berkenaan boleh ditempatkan di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand selain di Sri Lanka, Afrika Selatan, Filipina dan Kemboja.

"Di tempat ini terdapat orang Melayu golongan perantau. Bahasa Melayu mereka adalah Bahasa Melayu kacukan dengan bahasa setempat. Sekiranya dapat dimajukan bidang Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, maka semua Melayu perantauan dapat bertutur dengan Bahasa Melayu yang betul," katanya.

Selain itu, beliau berkata Bahasa Melayu juga perlu dijadikan bahasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan semua pemimpin negara serumpun diharapkan memiliki keberanian untuk memulakan ucapan mereka di dalam Bahasa Melayu di PBB.

"Tan Sri Razali Ismail semasa menjadi wakil tetap Malaysia di PBB telah buat pertama kalinya berucap di dalam Bahasa Melayu. Gabungan dan hasrat negara serumpun perlu disatukan supaya terdapat usaha bersama merealisasikan hasrat ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun, Malaysia, Indonesia dan Brunei bukannya negara kuasa besar, namun, jumlah penutur yang hampir 350 juta orang memberi kekuatan untuk mencapai hasrat berkenaan.

-- BERNAMA

Sabah kekurangan doktor

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PAPAR 27 Sept. - Masalah kekurangan doktor di Sabah pada masa ini berada di tahap kritikal berbanding dengan jumlah penduduk di negeri ini yang semakin bertambah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jawatan doktor yang diisi di negeri ini kini hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan berbanding kadar pengisian nasional sebanyak 53 peratus.

"Sabah adalah antara negeri yang memang kekurangan doktor. Kita menerima hakikat itu dan dengan pengambilalihan Pusat Perubatan Sabah (SMC) dapat membantu memberi galakan kepada doktor untuk berkhidmat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka beliau di Kampung Pengalat Kecil di sini semalam.

Menurut Rosnah, kerajaan sentiasa berusaha menambah bilangan doktor di negara ini selain menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur perubatan.

Katanya, antara langkah yang sedang diambil bagi mengatasi kekurangan doktor adalah dengan mengambil doktor dari luar negara bagi menampung keperluan doktor di negara ini.

"Salah satu langkah lagi yang kita ambil adalah melatih lebih ramai doktor atau membuka lebih banyak ruang atau kuota kepada doktor tempatan untuk dilatih di universiti yang ada di Malaysia.

"Dalam masa yang sama juga kita telah memperkenalkan beberapa skim dalam kementerian bagi membantu doktor dan jururawat mendapat skim gaji yang lebih menarik," katanya.

Dalam pada itu Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan juga giat menjalankan promosi bagi menarik lebih ramai doktor.

Katanya, promosi yang dijalankan bukan sahaja melalui laman web kementerian malah, kerajaan turut mendapatkan khidmat syarikat swasta untuk membantu usaha tersebut.