Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

02 February 2010

SPR pecat penolong pendaftar

Utusan Online

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA KRAU 1 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang tidak menolak kemungkinan akan memecat 84 penolong pendaftar yang dilantik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang gagal mencapai sasaran menambah bilangan pemilih berdaftar di negeri ini.

Pengarahnya, Ismail Mohd. Yusof menegaskan, ia berikutan prestasi buruk yang ditunjukkan mereka sepanjang kempen pendaftaran pemilih di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Tegas beliau, pada tahun lalu, hanya 619 orang berjaya didaftarkan sebagai pemilih di seluruh negeri ini.

‘‘Pas dilihat lebih aktif mendaftarkan ahlinya sebagai pemilih berdaftar iaitu seramai 1,437 orang sepanjang tahun lalu.

‘‘Kita meminta penolong pendaftar ‘tidak tidur‘ kerana sikap itu menyebabkan sasaran bilangan yang berdaftar terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program penerangan dan taklimat mengenai pendaftaran pemilih, pendaftaran pengundi baru serta pemutihan keahlian UMNO Bahagian Kuala Krau di Wisma Peneroka di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Pengerusi Biro Daftar Pemilih UMNO negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Ismail memberitahu, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 815,707 rakyat negeri ini layak mengundi sebagai pemilih dalam pilihan raya umum akan datang.

‘‘Hasil gerakan bersepadu parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan SPR sendiri, seramai 615,218 berjaya didaftarkan sebagai pemilih berdaftar sehingga tahun lalu,‘‘ katanya.

Ismail bimbang masih ramai yang layak tidak didaftarkan sedangkan peranan mereka sebagai rakyat amat penting untuk pembentukan kerajaan.

Katanya, SPR akan terus proaktif menjalankan kempen menarik menarik orang ramai berdaftar sebagai pemilih termasuk di pekan sehari dan pasar malam.

‘‘Pada masa sama, SPR Pahang bersedia mempertimbangkan cadangan orang ramai mengenai strategi meningkatkan pendaftaran supaya bilangan yang mendaftar mencapai sasaran,” tambahnya.

18 October 2007

SPR dedah penyelewengan

Berita Harian

Penolong Pegawai Pendaftaran pindah nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan, segelintir Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) yang dilantiknya, menyalah guna kuasa dengan memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran.

Pegawai terbabit dikesan memindahkan nama pemilih baru atau sedia ada, yang memohon menukar alamat mengikut Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor (gambar), berkata ada antara pegawai itu menurunkan tandatangan palsu pada borang pendaftaran dan SPR yang mempercayai sepenuhnya permohonan bertukar alamat seperti diserahkan itu, meluluskannya.

"Tindakan tidak jujur segelintir PPP itu menyebabkan SPR dikecam pihak tertentu yang mendakwa Daftar Pemilih disediakannya tidak lengkap dan bersih, bahkan ada menuduh ia bertujuan memberi kelebihan kepada parti tertentu.

"Kerana itu, SPR tidak lagi membenarkan PPP menguruskan permohonan pertukaran alamat pemilih, sebaliknya mereka hanya diberi tugas menguruskan pendaftaran pengundi baru. Walaupun setakat ini tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap PPP terbabit, kita sudah mengurangkan kuasa mereka demi memelihara integriti dan kredibiliti SPR," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas pendedahannya berhubung perkara itu dalam buku tulisannya bertajuk Ketelusan Sistem Pendaftaran Dan Penyemakan Daftar Pemilih dan Isu-Isu Semasa Berhubung Dengannya yang diedarkan baru-baru ini.

Buku itu, yang diterbitkan sebagai naskhah pertama Siri Pendidikan Pengundi, antara lain bertujuan menjelaskan kepada orang ramai khususnya ahli parti politik dan pihak berkuasa mengenai ketelusan sistem yang diguna pakai SPR.

Setakat ini, buku itu sudah diedarkan kepada semua menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen, ketua setiausaha dan timbalannya, ahli Parlimen, senator, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain ketua jabatan serta perkhidmatan.

Ketika ini SPR mempunyai kira-kira 2,000 PPP di seluruh negara. Selain kakitangan suruhanjaya itu sendiri, kebanyakan mereka adalah penjawat awam, swasta, ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan pekerja parti politik.

Kamaruzaman berkata, tindakan PPP memindahkan nama pemilih ke kawasan lain itu mula disedari ketika Pilihan Raya Umum 2004 apabila ada pemilih mengadu nama mereka tidak tersenarai dalam daftar sehingga timbul tuduhan SPR memindahkan nama mereka sewenang-wenangnya.

Berdasarkan Sistem Pendaftaran Bermusim, tempoh pendaftaran pemilih hanya dijalankan selama antara 21 dan 42 hari setahun berbanding Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST) yang diguna pakai oleh SPR ketika ini.

"SPR sering menerima tohmahan, sedangkan undang-undang sedia ada jelas tidak memberikan kuasa untuk kita memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran atau permohonan daripada pemilih sendiri," katanya.

Mengenai buku tulisannya itu, Kamaruzaman berkata, naskhah setebal 32 muka surat itu diterbitkan bagi mengelak salah faham serta tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang mendakwa SPR tidak jujur.

Penyelewengan oleh segelintir PPP itu adalah antara enam isu yang diutarakan selain kes nama pemilih meninggal dunia tidak dikeluarkan daripada senarai pemilih dan pemilih tidak bermastautin di alamat tempat didaftarkan.

Isu lain yang turut diberi penjelasan dalam buku berkenaan ialah berhubung kewujudan terlalu ramai pemilih didaftarkan dalam satu alamat; pemilih hanya mempunyai alamat umum tetapi tiada nombor rumah dan kesilapan butiran peribadi dalam daftar pemilih.

Kamaruzaman berharap buku itu dapat dijadikan rujukan penting dalam usaha SPR meningkatkan kefahaman dan keyakinan pemilih serta masyarakat mengenai ketelusan proses pendaftaran serta urusan pilihan raya.

"Kita menggunakan data dalam Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan pendaftaran dan semak daftar. Jika nama dan nombor kad pengenalan pemohon sama, tiada sebab untuk SPR tidak memproses permohonan pendaftaran.

"Kita juga terangkan mengenai kes 'pengundi hantu' yang sebenarnya tidak wujud sebaliknya ia berpunca daripada kekeliruan apabila seseorang pergi mengundi di tempat dia mendaftar dan bukannya tempat bermastautin. Hakikatnya, dia ialah pengundi sah mengikut undang-undang," katanya.