Showing posts with label PTM. Show all posts
Showing posts with label PTM. Show all posts

07 May 2010

Rugi F41 urus meja bantuan

MERUJUK kepada surat Jurutelefonis, Putrajaya dalam akhbar ini bertarikh 23 April lalu bertajuk Pegawai Gred F41, Urus Meja Bantuan.

Meja bantuan diwujudkan sebagai pusat untuk menerima aduan dan memberi bantuan teknikal berkaitan komputer di sesebuah agensi.
Kementerian atau jabatan menempatkan juruteknik komputer Gred FT17 di meja bantuan kerana kebanyakan aduan adalah berkaitan masalah teknikal seperti kerosakan, perisian dan penyelenggaraan komputer.

Jika pertanyaan adalah khusus mengenai sistem, maka pegawai di meja bantuan akan menyalurkannya kepada pegawai yang terbabit dengan pembangunan sistem atau berkaitan.

Pewujudan jawatan juruteknik komputer, Gred FT17 adalah berdasarkan tanggungjawab yang merangkumi penyelenggaraan sistem komputer, aplikasi pengkomputeran dan operasi sistem dalam sesebuah organisasi. Adalah satu kerugian jika Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) Gred F41 atau Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (PPTM) Gred F29 ditempatkan di meja bantuan kerana PTM mempunyai skop tugas yang lebih besar.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya

17 April 2007

Pegawai skim lain layak laksana tugas PTD

SU Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) masih hangat diperkatakan di kalangan kakitangan awam. Ramai menyokong dan ramai juga yang membantah.


Saya kira isu ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap PTD sudah lama berlaku di sektor awam. Cuma ia tidak begitu ditonjolkan kerana kebanyakan kerusi pengurusan ditakluki oleh PTD.

Memang benar PTD dilatih sedemikian rupa menerusi program Diploma Pengurusan Awam dan juga program lain seperti ‘Outbound School’, Undang-Undang, Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) bagi memantapkan kepakaran dan ketahanan fizikal dan mental.

Saya ingin merujuk surat pembaca ‘Pegawai Skim F’ cuba merungkai ketidakpuasan hatinya terhadap PTD yang dikatakan cuba memonopoli kedudukan atasan.

Apabila kita memasuki universiti dan memilih bidang sains, kita harap apabila tamat pengajian, kita akan menjadi orang nombor satu dalam organisasi, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Kedudukan nombor satu sentiasa dipenuhi golongan bukan profesional dalam bidang sains atau bidang khusus.

Sebagai contoh, Pegawai Skim F adalah Kumpulan Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat. Kelulusan minimum untuk menjawat jawatan Pegawai Sistem Maklumat dan PTD adalah sama iaitu sarjana muda, tetapi gaji permulaan kedua-dua skim ini berbeza sedangkan bidang teknologi maklumat adalah bidang sains berbanding bidang sastera yang diperoleh PTD.

Sejak awal lagi sudah ketara proses menganaktirikan itu berlaku apatah lagi pada masa akan datang. Sebagai pemegang Sarjana Muda Sains Komputer, mereka juga mempelajari ilmu pengurusan dan pentadbiran ketika di universiti.

Jika Diploma Pengurusan Awam dan program lain yang dipelajari PTD diberikan kepada pegawai skim lain, saya pasti sektor awam dapat menghasilkan pegawai profesional dalam bidang mereka di samping berhemah dalam pengurusan dan pentadbiran jabatan atau organisasi.

Tidak salah rasanya jika saya katakan tugas PTD adalah rencam. Ramai PTD menyatakan mereka pentadbir elit dan komited dengan tugas dan tanggungjawab, tetapi isunya berapa ramai yang bersikap begitu?

Jika mereka benar-benar elit dan berkaliber, kenapa ramai pegawai skim lain tidak puas hati? PTD adalah penggubal dasar yang sepatutnya memikirkan keseluruhan penjawat awam bukan hanya golongan yang berada dalam lingkungan persatuan PTD.

Kajian menyeluruh, jitu dan telus perlu dilakukan pihak bertanggungjawab yang tidak berada di dalam mana-mana skim perkhidmatan kerajaan terutama PTD.

Ramai guru pada masa kini mempunyai kelulusan sarjana muda sama seperti PTD. Saya yakin guru masa kini mempunyai ilmu dalam pengurusan dan pentadbiran. Dalam mentadbir dan menguruskan jabatan dari segi belanjawan, pembangunan infrastruktur, sumber manusia dan sebagainya, pegawai yang pernah menjawat jawatan guru mempunyai lebih banyak maklumat dari segi selok-belok jabatan.

JURUTERA SISTEM KANAN,
Dengkil, Selangor.