Showing posts with label PTG. Show all posts
Showing posts with label PTG. Show all posts

09 February 2010

Layanan mesra pejabat tanah

Berita Harian

PADA 27 Januari lalu, kami cucu waris tanah pesaka datuk nenek datang ke Pejabat Tanah Batu Pahat bagi tujuan perbicaraan pembahagian tanah harta pesaka. Kami datang terlewat, maklumlah dari Johor Bahru, Perak, Kuala Lumpur, Singapura dan Melaka.

Bila datang ke kaunter, pegawai kaunter memberi layanan yang mesra dan memuaskan. Penerangannya nyata dan jelas. Dokumen yang diperlukan disemak dan tepat pada kehendak tuan hakim.

Bila perbicaraan dijalankan, hakim itu yang bersifat 'mesra pelanggan', memudahkan pembahagian harta pesaka, penerangannya kepada saksi sungguh tepat, jelas dan faham segala-galanya. Syabas kami ucapkan.

Kecekapan tuan hakim dan pegawai di kaunter amat dihargai, semoga Allah memberi berkat di dunia dan akhirat.

WAK LEMAN,
Parit Bengkok,
Masai, Johor.

27 May 2007

Dua kes hilang hak milik tanah sehari di KL

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kadar kehilangan hak milik tanah di ibu negara adalah tinggi dengan dua kes dilaporkan setiap hari.

Namun, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan tidak dapat mengambil tindakan jika pihak terbabit tidak mengemukakan bukti serta membuat laporan polis, kata Pengarahnya, Zainuddin Tala.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka terbabit membuat laporan polis dan mendapatkan pengakuan surat sumpah bagi membolehkan siasatan menentukan hak milik sebenar.

“Kita tidak dapat melaksanakan tindakan jika kedua-dua pihak yang tampil membuat pengakuan tidak mengemukakan bukti atau merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa terlebih dulu.

“Selepas laporan polis dan surat sumpah, barulah kita dapat meneruskan siasatan untuk menentukan status tanah yang menjadi rebutan. Siasatan akan dilakukan menyeluruh termasuk membabitkan pihak bank, cagaran jika ada dan sesiapa saja yang ada kepentingan dengan tanah itu.

“Kalau perlu, kita rujuk cap jari asal pemilik tanah berkenaan. Kaedah ini akan dipraktikkan secara menyeluruh bukan sekadar di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pembayaran cukai tanah menggunakan kad kredit dan Hari Bertemu Pelanggan PTG, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Phesal Talib; dan Setiausaha Parlimen, Yew Teong Look.