16 September 2008

Sarawak antara negeri paling banyak rasuah

Utusan Online

KUCHING 15 Sept. - Sarawak merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mencatatkan bilangan kes rasuah tertinggi apabila sejumlah 453 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan rasuah dari Januari sehingga semalam.

Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak, Mohd. Yusoff Akope berkata, daripada jumlah itu, 11 peratus atau 49 orang yang ditahan telah didakwa ke mahkamah.

Menurutnya, bagi tempoh itu juga, BPR menerima 880 aduan rasuah dan membuka sejumlah 77 kertas siasatan manakala 353 fail pertanyaan serta risikan.

''Kumpulan pengurusan dan profesional golongan yang paling ramai terlibat dengan rasuah di negeri ini.

''Tangkapan melibatkan golongan profesional ialah 16 orang, kumpulan sokongan (14), swasta (12) dan orang awam (tujuh) manakala sejumlah 68 kes sedang dibicarakan di mahkamah di seluruh negeri sepanjang tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Gerak Mesra BPR-Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bersama Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Penerangan Islam di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datuk Misnu Taha serta Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Robert Lian.

Dalam pada itu, Yusoff menolak dakwaan sesetengah pihak BPR hanya bertumpu kepada kes kecil atau 'ikan bilis' berbanding 'ikan jerung'.

Katanya, semua kes rasuah sama ada kecil atau besar akan memberi kesan yang besar kepada masyarakat dan negara.

Ditanya mengenai kes berprofil tinggi di Sarawak, beliau tidak menafikan pihaknya sedang menyiasat beberapa kes membabitkan golongan politik di negeri ini.

''Ada dua atau tiga kes membabitkan ahli politik dan kita sedang melakukan siasatan," ujarnya.

No comments: