05 September 2008

Runner punca gejala rasuah sektor awam – BPR

Utusan Online

JOHOR BAHRU 4 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan perantara di jabatan kerajaan kerana ia dikenal pasti menjadi punca gejala rasuah dalam sektor awam.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya mengesan kegiatan perantara atau turut dikenali sebagai runner itu menimbulkan masalah birokrasi apabila sesuatu urusan tidak dijalankan mengikut saluran yang sah.

Menerusi operasi yang dijalankan ke atas Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd., (Puspakom) sejak 26 Ogos lalu, seramai 21 perantara di seluruh negara ditahan BPR kerana kegiatan rasuah.

“Kegiatan runner ini yang menjahanamkan perkhidmatan awam dan kita tidak mahu sistem di negara kita dicemari rasuah.

“Bagi sesiapa yang ditawarkan rasuah, diharap dapat laporkan segera kepada BPR supaya tindakan dapat diambil,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Jawatankuasa Bersama Mencegah Rasuah Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dan BPR di sini hari ini.

Pada majlis itu, MBJB diwakili Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir manakala BPR diwakili pengarah negeri, Simi Abdul Ghani.

Dalam pada itu, jelas Ahmad Said, pihaknya telah mendapat kerjasama penuh daripada pentadbiran Puspakom bagi membersihkan organisasi tersebut daripada kegiatan rasuah.

“Persefahaman antara Puspakom dan BPR telah wujud lebih setahun dan ini antara usaha untuk mengeluarkan kakitangan yang tidak berintegriti daripada perkhidmatan,” katanya.

Berdasarkan perangkaan semasa, seramai 23 kakitangan Puspakom di seluruh negara kini ditahan oleh BPR kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu atau memberikan bukti-bukti palsu berkaitan jenayah rasuah melibatkan penjawat awam.

No comments: