14 August 2008

Seminar di hotel dibenar

Berita Harian

Larangan ditarik balik elak industri perhotelan terjejas

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa semalam, majlis rasmi dan seminar yang dianjurkan kementerian atau agensi kerajaan dibenarkan untuk kembali diadakan di hotel.

Kementerian Kewangan menerusi Pekeliling Perbendaharaan bilangan 4/2008, yang dikeluarkan semalam mengumumkan larangan mengadakan majlis rasmi dan seminar di hotel terhadap kementerian dan agensi kerajaan sebelum ini ditarik balik.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, berkata sebelum ini melalui pekeliling bertarikh 9 Jun 2008, kementerian dan agensi kerajaan tidak dibenar mengadakan majlis rasmi di hotel sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha industri hotel menyuarakan kebimbangan bahawa kesan langkah itu boleh menjejaskan industri perhotelan.

"Berikutan pentingnya industri perhotelan dalam ekonomi negara termasuk dari segi penjanaan pekerjaan, Jemaah Menteri semalam memutuskan bahawa majlis rasmi boleh diadakan di hotel, tertakluk kepada syarat perbelanjaan adalah terkawal dan sederhana.

"Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perbendaharaan ini, perenggan 11 dan 12 dalam Pekeliling Perbendaharaan bilangan 9/2008 yang dikeluarkan pada Jun lalu adalah terbatal," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sepanjang larangan itu, hanya mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel antarabangsa dibenarkan di hotel.

No comments: