09 May 2008

BPR buat 544 dakwaan rasuah pegawai kerajaan

Berita Harian

Kawalan dalaman menerusi JBMR berkesan bendung penyelewengan

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat 544 pendakwaan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan antara 2003 hingga 2007, membabitkan pertuduhan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata pendakwaan itu termasuk 436 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997, Kanun Keseksaan dan perundangan lain (67 pertuduhan) selain satu pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

"Bagi meningkatkan pembanterasan gejala rasuah, BPR terus berusaha mengubah kaedah penguatkuasaan supaya menerima pakai tindakan menggalak jabatan atau agensi kerajaan bekerjasama dengan BPR menyertai program pencegahan jenayah rasuah.

"Kawalan dalaman menerusi pembentukan Jawatankuasa Bersama Mencegah Rasuah (JBMR) sebagai tambahan kepada usaha Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) didapati lebih berkesan bagi membendung penyelewengan dan salah guna kuasa.

"BPR juga meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Audit Negara dalam mengambil tindakan awal bagi menangani kepincangan dalam jabatan kerajaan yang mana unsur jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa boleh berlaku," katanya menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja).

Mohamed Nazri berkata, BPR menjalankan siasatan berbentuk perisikan, terutama dalam kes rasuah bersindiket bagi meningkatkan keupayaan memantau jabatan kerajaan tertentu.

Katanya, statistik menunjukkan pendakwaan paling tinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia iaitu sebanyak 217 kes, Jabatan Pelajaran (59 kes), pihak berkuasa tempatan (28 kes), Jabatan Kebajikan Masyarakat (19 kes) dan Jabatan Agama Islam sebanyak 14 kes.

Selain itu, ada 12 kes di Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (13 kes), Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (12 kes), Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Kastam Diraja, masing-masing mencatatkan 11 kes, manakala 148 lagi pertuduhan membabitkan lain-lain jabatan kerajaan.

Kepada soalan tambahan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengenai pegawai kerajaan yang hidup mewah di luar kemampuan, Mohamed Nazri berkata, BPR boleh menghantar surat pertanyaan kepada mereka berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, sememangnya menjadi tanggungjawab BPR bagi memantau individu seumpama itu dan meminta mereka menerangkan bagaimana mampu menyara kehidupan melebihi gaji diterima.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pula mempertikaikan kenapa 18 `ikan yu' yang terbabit dalam rasuah belum ditahan walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikrar melakukannya selepas mengambil alih selaku Perdana Menteri pada 2004.

Beliau mendakwa, hakikat hanya `ikan bilis' saja ditangkap kerana rasuah setakat ini menunjukkan seolah-olah kerajaan tiada kesungguhan politik dalam pembanterasan rasuah.

Malah, katanya, sasaran menduduki tangga ke-30 dalam indeks rasuah Transparency International menjelang 2008 pun tidak tercapai kerana kini negara hanya berada di tangga ke-43.

No comments: