16 January 2008

Pakai baju batik setiap Khamis

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff dan Haika Khazi


SEBAGAI PANDUAN: Mohd Sidek (kanan) turut melancarkan sebuah buku turut disaksikan dari kiri Ahmad Fuad, Ismail dan Wan Abdul Aziz di PICC, Putrajaya, semalam.

Arahan KSN akan diedar kepada setiap jabatan

PUTRAJAYA: Mulai minggu ini semua kakitangan awam lelaki perlu memakai baju batik buatan Malaysia pada setiap Khamis dan bukan lagi pada hari pertama dan ke-15 setiap bulan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pekeliling penguatkuasaan peraturan itu sudah ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan akan dihantar ke semua jabatan kerajaan secepat mungkin.

Pemakaian baju batik oleh pegawai perkhidmatan awam pada hari pertama dan ke-15 setiap bulan diperkenalkan pada 30 Jun 2005.

Mohd Sidek berkata, keputusan itu bagi menyokong perkembangan dan pembangunan industri batik yang menjadi warisan dan identiti negara.

"Pemakaian batik oleh kakitangan awam terutama batik Malaysia dapat meningkatkan permintaan batik Malaysia dan membangunkan perusahaan batik tempatan," katanya, kepada pemberita, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Inisiatif Baru Mempertingkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan � Penambahbaikan Urusan Cadangan Pemajuan serta Penyelenggaraan dan Pengurusan Hartanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama, Ismail, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Arahan pemakaian batik setiap Khamis itu diumumkan menerusi Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2008 yang disiarkan di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), semalam.

Bagaimanapun, arahan itu tidak terpakai kepada pegawai kerajaan yang dibekalkan pakaian seragam, pegawai yang menghadiri acara rasmi seperti persidangan antarabangsa atau perjumpaan dengan pelawat asing atau majlis yang menetapkan pemakaian pakaian lain.

Mengenai pemberian sagu hati kepada kakitangan kerajaan yang diminta Cuepacs, Mohd Sidek berkata, ia belum dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya belum jumpa lagi dengan Perdana Menteri. Saya belum bincang lagi, tak tahulah apa dia," katanya.

Ditanya bila beliau akan menemui Perdana Menteri, Mohd Sidek berkata: "Saya jumpa Perdana Menteri apabila ada masa bersesuaian".

Minggu lalu, sembilan pegawai kanan Ceupacs menemui Mohd Sidek bagi membincangkan permohonan sagu hati itu.

No comments: