09 November 2007

Universiti kita terkeluar senarai 200 terbaik dunia

Utusan Online

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Tiada sebuah pun universiti di Malaysia tersenarai di kalangan 200 universiti terbaik dunia, berdasarkan penarafan Times Higher Education Supplement (THES) tahun ini.

Sehubungan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed mengarahkan semua naib canselor universiti tempatan menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif penambahbaikan institusi masing-masing.

Langkah berkenaan perlu dilakukan berikutan 60 peratus markah penilaian penarafan THES adalah berdasarkan penilaian sepakaran (peer review) dan sitasi (citations), katanya dalam satu kenyataan hari ini. Penarafan tersebut dikendalikan syarikat swasta British iaitu Quaquarelli-Symmonds (QS) bagi pihak THES sejak 2004.

Ia berdasarkan unsur-unsur penilaian sepakaran (40 peratus), sitasi (20 peratus), nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), penilaian majikan (recruiter review) (10 peratus), pensyarah antarabangsa (5 peratus) dan pelajar antarabangsa (5 peratus).

Tahun lepas, dua universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia.

Menurut Mustapa, kaedah yang digunakan untuk membuat penarafan tahun ini telah diubah bertujuan menjadikan kajian itu lebih tepat.

Akibatnya, jelas beliau, penarafan bagi hampir semua institusi yang berada dalam kedudukan tersenarai, termasuk institusi yang berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia, juga berubah.

‘‘Saya mengambil berat keputusan ini dan bertekad untuk mempertingkatkan kecemerlangan IPT tempatan selari dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2007,’’ katanya.

Katanya, universiti tempatan perlu melipat gandakan usaha untuk menambah baik prestasi institusi masing-masing supaya tergolong di kalangan universiti terbaik dunia.

Menurut beliau, kementerian telah mengambil beberapa langkah konkrit seperti yang termaktub dalam PSPTN 2007 hingga 2010.

Langkah-langkah tersebut, katanya, dilaksanakan melalui penekanan terhadap lima tonggak institusi iaitu tadbir urus, kepimpinan, akademia, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

‘‘Dalam aspek R&D, misalnya, empat buah universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan untuk memberi tumpuan yang lebih terhadap penyelidikan,’’ ujar beliau.

No comments: