04 August 2007

Abdullah sambut baik skim VSS

Utusan Online

KOTA BHARU 3 Ogos – Saranan supaya diwujudkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bagi melepaskan pekerja-pekerja bermasalah daripada terus berkhidmat dalam kerajaan merupakan satu idea yang baik, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Perdana Menteri, beliau percaya ia dapat menjadi kaedah yang meningkatkan mutu perkhidmatan awam demi kepentingan masyarakat.

Beliau tidak menolak kemungkinan cadangan itu dapat mencegah timbulnya salah laku termasuk amalan rasuah dan salah laku lain di kalangan kakitangan.

“Saya tak kata itu (dapat menghalang rasuah) sebagai alasan, tetapi ia (cadangan itu) suatu peringatan untuk (kakitangan dan pegawai kerajaan) bekerja keras.

“Pandangan ini baik, tetapi saya ingin tahu tentang butiran terperinci cadangan ini yang merupakan idea Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd. Sidek Hassan) sendiri,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Operasi dan Pelancaran Pelan Pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di kampus sementara universiti tersebut di Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Mohd. Sidek mencadangkan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mewujudkan skim VSS bagi melepaskan kakitangan bermasalah daripada terus berkhidmat seperti mana yang telah dilaksanakan sektor swasta sejak sekian lama.

Sementara itu apabila ditanya tidakkah cadangan itu boleh menjejaskan peluang mencari rezeki kakitangan awam yang terlibat, Perdana Menteri menegaskan, tindakan tatatertib termasuk buang kerja bukan baru dalam perkhidmatan awam.

Katanya, telah ramai kakitangan awam dikenakan tindakan dibuang kerja, cuma ia tidak pernah dihebahkan kepada pihak media sebelum ini.

No comments: