13 June 2007

Lantikan jawatan Ketua Polis perlu tapisan BPR, Tatatertib PDRM

Utusan Online

KUALA LUMPUR 12 Jun – Pelantikan pegawai kanan polis untuk jawatan Ketua Polis negeri perlu melalui prosedur tapisan yang ketat dan siasatan terperinci terhadap calon terpilih oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Urusetia Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superitendan Rasdi Ramli berkata, menjadi prosedur standard bagi proses kenaikan pangkat seseorang pegawai kanan polis yang berpangkat Superintenden ke atas, nama calon perlu dibuat tapisan berkenaan.

“Nama calon perlu melalui tapisan itu (BPR dan Urusetia Tatatertib PDRM) sebelum nama mereka diedarkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Hanya selepas mendapat persetujuan dan kelulusan daripada SPP, barulah nama pegawai-pegawai berkenaan diumumkan penempatannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom berkaitan pelantikan jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, Perak dan Sabah sebagai terlalu lama dan tidak wajar, selain ia menjadi salah satu faktor penyumbang peningkatan kadar jenayah.

Rasdi berkata, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC I Zulhasnan Najib Baharuddin sekarang ini adalah Pemangku Ketua Polis kontinjen tersebut.

“Ini adalah berdasarkan surat pelantikan Pegawai Polis mengawal mana-mana formasi yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara,” katanya.

Katanya lagi, bagi semua kontinjen yang belum mempunyai Ketua Polis negeri, termasuklah Kontinjen Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Polis kontinjen berkenaan dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis negeri.

“Daripada itu setiap Pemangku Ketua Polis negeri mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang sama dengan seorang Ketua Polis negeri yang dilantik,” kata Rasdi.

– Bernama

No comments: