27 May 2007

CUEPACS puas hati

Utusan Online

Oleh Norliza Abd. Rahman

PUTRAJAYA 21 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpuas hati dengan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Malah, Presidennya, Omar Osman menyifatkan kenaikan tersebut sebagai terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam dan yakin sokongan kakitangan awam terhadap kerajaan semakin kuat.

‘‘Kami amat berpuas hati dan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana apa yang kita sasarkan tercapai, harapan saya semua kakitangan awam dapat berikan perkhidmatan terbaik.

‘‘Kita berasa amat gembira, walaupun kurang lima peratus (berbanding tuntutan asal 40 peratus) tetapi kita tetap bersyukur, kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sehingga RM300 sudah memadai,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kerajaan juga menaikkan COLA sebanyak 100 peratus.

Disiplin

Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40), dinaikkan 25 peratus, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dinaikkan 15 peratus, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dinaikkan 7.5 peratus.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.

Omar berkata, beliau akan menunaikan permintaan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mahukan CUEPACS memainkan peranan dalam mengubah sikap kakitangan kerajaan.

‘‘Perdana Menteri mahu semua pekerja ubah sikap terutamanya disiplin, imej, produktiviti dan moral kena ditingkatkan, di era globalisasi ini kita tidak boleh menunggu lama kerana semua perubahan mesti drastik.

‘‘Kita mahu masyarakat nampak apa komitmen pekerja sektor awam kepada kerajaan, kita mahu mereka lebih mesra, mudah senyum, cemerlang dan berdaya saing,” katanya.

Omar berkata, CUEPACS juga akan membuat kajian bagi mencari punca mengapa ramai kakitangan am rendah melakukan kerja sampingan selepas waktu kerja.

Menurutnya, kenaikan tersebut dianggap sudah memadai untuk merapatkan jurang perbezaan antara kakitangan atasan dan bawahan yang sebelum ini amat ketara.

No comments: