08 March 2007

Cuepacs bidas pegawai atasan

Oleh Azman Mahmood

'Orang besar' patut sokong perjuangan kesatuan tuntut kenaikan gaji: Omar

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membidas sikap sesetengah kakitangan awam kumpulan atasan memandang rendah terhadap perjuangannya menuntut kenaikan gaji.


Presidennya, Omar Osman, berkata kumpulan itu didakwanya hanya pandai mempertikaikan apa yang Cuepacs cuba laksanakan untuk kebaikan kakitangan awam, bukannya memberi kerjasama atau menyokongnya.

“Kakitangan awam kumpulan atasan ini jangan pandang remeh terhadap usaha Cuepacs kerana mereka sepatutnya menyokong kerana setiap perjuangan Cuepacs apabila berjaya, mereka juga menikmati bersama.

“Janganlah kerana kita bukan `orang besar’ berjuang untuk kepentingan kakitangan awam, mereka (orang berpangkat) pandang remeh terhadap usaha kita termasuk meminta kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

“Cuepacs adalah badan yang berjuang untuk semua kakitangan awam dari kumpulan bawahan sehingga kepada kakitangan kumpulan atasan,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai persetujuan kerajaan mempercepatkan proses penilaian tuntutan kenaikan gaji kakitangan awam.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan 11 anggota tertinggi Cuepacs di Parlimen, kelmarin yang diketuai Omar.

Diminta mengulas lanjut mengenai persetujuan kerajaan membuat semakan gaji kakitangan awam, Omar berkata, beliau meminta semua Pengerusi Cuepacs negeri mengatur taklimat bagi menjelaskan proses tuntutan kenaikan gaji yang dikemukakan.

Beliau berkata, setakat ini Cuepacs sudah mengadakan taklimat mengenai perkara itu di Perlis, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur, manakala pada 12 dan 17 Mei ini, di Sabah dan Sarawak.

Katanya, berikutan persetujuan kerajaan membuat semakan gaji kakitangan awam, Cuepacs juga meminta semua kakitangan awam memberi tumpuan kepada tugas masing-masing dan mempertingkatkan produktiviti.

Perdana Menteri pada pertemuan dengan anggota majlis tertinggi Cuepacs kelmarin, katanya, meminta Cuepacs mewakili kakitangan awam supaya meningkatkan perkhidmatan, produktiviti kerja dan sistem penyampaian.

“Saya juga berharap kakitangan awam yang melakukan kerja atau berniaga secara sambilan, kurangkan atau hentikan terus kegiatan itu. Kita tidak mahu ia mengganggu kerja di pejabat dan luar pejabat yang akhirnya menjejas produktiviti,” katanya.

No comments: