NUTP tolak penstrukturan semula JPN
KUALA LUMPUR 26 Feb. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang bakal diterajui Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sebarang usaha untuk mengambil alih jawatan tinggi JPN oleh pegawai PTD pasti tidak dapat diterima oleh guru-guru.
“Ia seolah-olah satu permulaan untuk merampas semua jawatan dalam JPN. NUTP berpendapat perjawatan dan perkhidmatan harus diketuai oleh Pegawai Pelajaran kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut,’’ katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Isu penstrukturan semula JPN oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bakal menyaksikan penguasaan PTD dalam jawatan-jawatan utama menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
Rasa kurang senang juga timbul berikutan kekurangan jawatan untuk para guru terutamanya dari Gred DG41 kepada DG44 bagi menyertai barisan kepimpinan JPN.
Yim Pheng seterusnya mencadangkan agar lebih banyak jawatan DG44 diwujudkan supaya kumpulan itu dapat menjadi pelapis kepada kepimpinan di JPN.
Katanya, DG44 menjadi jawatan asas dan batu loncatan bagi guru-guru menguasai kemahiran dan menikmati kenaikan pangkat melalui proses pembelajaran dan pengalaman.
Dalam pada itu, NUTP turut melahirkan rasa tidak berpuas hati mengenai gred DG48 yang ditawarkan untuk sektor pendidikan Islam dan moral serta sektor pembangunan manusia.
‘‘Ketua sektor-sektor ini sepatutnya ditawarkan ke jawatan DG52 dan bukannya DG48. Niat kami hanyalah untuk menjamin peluang kenaikan pangkat para guru ditambah tanpa merampas hak pegawai-pegawai kerajaan yang lain,’’ tambahnya.
No comments:
Post a Comment