Berita Harian
SELEPAS tuntutan kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam diterima oleh kerajaan, satu lagi isu besar yang perlu ditangani Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ialah perasaan tidak puas hati sebahagian besar kakitangan terhadap peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Peperiksaan ini adalah komponen terpenting dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diperkenalkan pada 2003. Pelbagai versi dilaporkan mengenai kelemahan PTK hingga sekarang. Bagi mendapatkan gambaran menyeluruh, wartawan Berita Minggu,
Ziauddin Sharuddin, menemu bual Presiden Cuepacs, Omar Osman, mengenai isu itu.
PTK diterima oleh Cuepacs apabila hendak dilaksanakan pada 2003 dan kini ditentang habis-habisan. Mengapa.Memang benar kepemimpinan Cuepacs pada peringkat awal bersetuju dengan pelaksanaan PTK selepas mendengar penerangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2001. Kita melihat PTK yang sistematik apabila dilaksanakan memberi faedah kepada kakitangan perkhidmatan awam. Malangnya apabila dilaksanakan pada 2003, pelbagai masalah mulai timbul dengan antara sektor pertama yang menerima kesan ialah guru. Ramai yang tidak lulus dan baru-baru ini, kira-kira 70,000 guru dilaporkan tidak menduduki PTK. Apabila kita menganalisis secara keseluruhan, laporan daripada ahli gabungan Cuepacs seluruh negara mendapati majoriti ahli tidak bersetuju. Sebelum pengumuman kenaikan gaji pada 21 Mei lalu, saya mengadakan pertemuan dengan ahli Cuepacs seluruh negara. Setiap kali pertemuan, mereka membangkitkan isu PTK dan menggesa dimansuhkan. Saya bertanya sama ada ahli bersetuju supaya PTK dikekalkan dan diubah suai? Tidak ada seorang pun bersetuju!
Apakah isu sebenar yang menyebabkan PTK dilihat sebagai menimbulkan masalah.Pertama ialah soalan PTK. Kita mendapati ada soalan yang tidak relevan dan sesuai dengan kumpulan sasaran. Bahagian soalan umum, mungkin kakitangan boleh membaca kerana seragam, tetapi bahagian soalan khusus, iaitu mengenai bidang pekerjaan kakitangan menimbulkan banyak masalah. Jika pekerjaan saya ialah juruteknik, soalan khusus sepatutnya adalah hanya mengenai pekerjaan itu. Bagaimanapun, seorang juruteknik elektrik sudah tentu tidak boleh menjawab soalan berkaitan juruteknik mekanikal. Apabila soalan sama, ini menimbulkan masalah. Jika saya jawab, jawapan itu tidak tepat dan akan gagal. Ini menyebabkan pada 2003 dan 2004, ramai gagal dalam peperiksaan yang ketika itu diadakan sekali setahun, berbanding empat kali setahun sekarang. Masalah soalan dihadapi hampir semua agensi dan jabatan kerajaan. Kakitangan kumpulan Pengurusan dan Profesional pun mempertikaikan peperiksaan PTK. Jika tidak, mengapa sebuah persatuan kumpulan ini mempertikaikan PTK walaupun kakitangan kumpulan ini menghadiri kursus sebelum menduduki PTK. Bagaimanapun, kumpulan sokongan satu dan dua tidak ada kursus. Mereka terpaksa membaca sendiri dan menduduki peperiksaan. Mana boleh!
Isu kedua.Apabila seseorang lulus peperiksaan PTK sama ada Aras Empat atau cemerlang, dia sepatutnya mendapat anjakan gaji, tetapi ini tidak berlaku. Dalam pekeliling perkhidmatan awam, setiap kakitangan yang lulus PTK Aras Empat akan mendapat anjakan gaji dan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Aras Tiga tidak mendapat anjakan gaji, tetapi boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Malangnya selepas lulus Aras Empat, mereka tidak mendapat anjakan gaji dan kenaikan pangkat. Anjakan gaji bukan secara automatik, tetapi apabila ada temu duga untuk kenaikan pangkat, mereka diberi lebih keutamaan kerana lulus PTK. Sebarang kenaikan pangkat memerlukan kakitangan lulus PTK, tetapi perkara ini tidak berlaku. Banyak kes begini berlaku.
Bagaimana dengan penilaian prestasi kerja yang menyebabkan mereka yang lulus PTK tidak berpuas hati.Masalah timbul apabila walaupun lulus PTK, prestasi kerja kakitangan berkenaan pada penilaian jabatan tidak cemerlang. Sebelum ini diberitahu bahawa PTK untuk kenaikan pangkat dan tidak mempunyai kaitan dengan prestasi kerja. Sekarang timbul bahawa selepas lulus PTK, prestasi kerja mesti cemerlang. Ini bermakna kelulusan PTK tidak menjamin kenaikan pangkat dan anjakan gaji. Ramai kakitangan yang terjebak dalam masalah ini. Tidak ada makna menduduki PTK hanya untuk menguji tahap kecekapan dan tidak mendapat anjakan gaji kerana halangan seperti kuota. Ia lari daripada matlamat asal yang Cuepacs dan JPA bersetuju. Masalah timbul pada peringkat pelaksanaan, iaitu jabatan atau agensi kerajaan. Mulalah, ada yang kata kuota sudah penuh dan memberi alasan anjakan gaji bergantung kepada bajet. JPA tidak tahu mengenai perkara ini dan tidak membuat pemantauan. Walaupun lulus PTK, prestasi kerja tidak cemerlang, tidak akan mendapat anjakan gaji. Pekeliling perkhidmatan awam tidak menyatakan begitu. Lulus PTK, berilah anjakan gaji!
Isu lain yang Cuepacs dapati menimbulkan masalah.Selepas menduduki peperiksaan PTK, berbulan-bulan hendak mengetahui keputusan. Kadangkala kenaikan gaji tahunan yang patut berkuat kuasa pada tarikh itu ditangguhkan kerana jabatan memberitahu bahawa apabila lulus PTK, terpaksa buat sekali lagi. Sepatutnya berilah kenaikan gaji tahunan itu. Keputusan PTK perlu diketahui dalam tempoh satu atau dua bulan selepas peperiksaan supaya tidak timbul masalah membabitkan kenaikan gaji tahunan akan datang. Sekarang ada yang hingga enam bulan, malah setahun tidak mendapat keputusan PTK. Inilah kekangan yang menyebabkan kakitangan hilang keyakinan terhadap PTK.
Ada tanggapan bahawa PTK terlalu berorientasikan peperiksaan. Adakah ini benar.Ya! Sebagai contoh bagi kumpulan pengurusan dan profesional mempunyai tugasan seperti penyelidikan dan pembelajaran yang lengkap, tetapi jika tidak lulus PTK, mereka tidak akan dipertimbangkan untuk mendapat kenaikan pangkat. Sebelum ada PTK, tugasan seperti menulis kertas kerja, seminar dan penyelidikan mencukupi untuk mendapat kenaikan pangkat. Sekarang tanpa kelulusan PTK, kakitangan kumpulan ini tidak boleh pergi ke jawatan lebih tinggi. Bukankah ini menunjukkan PTK menjadi penghalang. Bagi kakitangan kumpulan sokongan, ada yang prestasi kerja cemerlang tiga tahun berturut-turut, tetapi tidak lulus PTK juga menyebabkannya tidak layak mendapat kenaikan pangkat. Pada masa sama, kelulusan cemerlang dalam PTK juga tidak menjamin mendapat kenaikan pangkat atau anjakan gaji apabila prestasi kerja tidak cemerlang. Sekarang ramai yang lulus PTK tidak mendapat anjakan gaji. Apabila saya pergi menghadiri taklimat, ramai yang menyokong PTK dimansuhkan.
Cuepacs mendakwa tidak sampai 50 peratus lulus sedangkan mengikut JPA, kira-kira 70 peratus lulus peperiksaan PTK. Macam mana ini.Angka kita adalah berdasarkan laporan dalam mesyuarat Cuepacs setiap tahun. Peratusan itu berdasarkan kiraan kita sendiri. Kalau JPA menyatakan 70 peratus, angka ini mesti diperjelaskan secara terperinci. Berapakah kadar kelulusan setiap kumpulan. Itu yang kita mahu tahu. Kalau 70 peratus secara rambang, saya pun sudah tahu.
Bagaimana PTK dilihat memberi kesukaran kepada kakitangan yang sudah lama berkhidmat untuk menduduki peperiksaan.PTK menjadi suatu masalah dan kebimbangan kepada kakitangan lama untuk mengambil PTK dan bersaing dengan kakitangan baru yang lebih muda. PTK tidak memberi pengecualian kepada kakitangan lama. Sepatutnya kakitangan yang sudah lama berkhidmat dan agak berusia dikecualikan menjawab bahagian soalan umum dan hanya mengambil bahagian soalan khusus. Bagaimanapun, ini tidak berlaku. Pada peringkat awal, kita mengetahui bahawa SSM adalah untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam dan tidak diberitahu bahawa antara kandungannya ialah peperiksaan PTK. Kita diberitahu bahawa SSM lebih baik berbanding SSB (Skim Saraan Baru), tidak ada lagi kenaikan gaji menegak dan melintang yang menjadi isu sebelum ini. SSM juga dikatakan membolehkan penilaian dibuat secara adil oleh jabatan terhadap prestasi kakitangan. Kita bersetuju penilaian ini untuk menentukan peningkatan kerjaya kakitangan. Tidak ada pun kata pepe-riksaan PTK. Apabila kita kata bersetuju, keluar pekeliling baru menyatakan kakitangan wajib men-duduki peperiksaan ini. Kita terkejut!
Apakah kesan terhadap kakitangan dan perkhidmatan awam apabila isu berkaitan PTK dibiarkan berlarutan.Saya khuatir kerana prestasi dan produktiviti kakitangan perkhidmatan awam menurun. Begitu juga hubungan harmoni di kalangan kakitangan kanan dan baru terjejas apabila kekananan seseorang kakitangan tiada kerana jika kakitangan kanan gagal peperiksaan PTK, imejnya akan terjejas. Nanti ada orang kata, kerja 30 tahun, tetapi PTK pun tidak lulus, sedangkan orang baru yang bekerja 10 tahun lulus. Ketua jabatan juga lebih berdamping dengan kakitangan baru yang muda dan boleh bekerja kuat, manakala prestasi orang lama dikatakan mula menurun. Ini sudah berlaku dalam agensi kerajaan. Saya dihubungi seorang kakitangan yang bekerja selama 12 tahun dan lulus PTK, tetapi tidak mendapat kenaikan pangkat. Sebaliknya orang baru diberi keutamaan. Ini adalah diskriminasi kepada kakitangan lama. Kesannya ialah kakitangan yang berasa dirinya diketepikan bekerja sambil lewa dan melakukan kerja sambilan.
Baru-baru ini dilaporkan ada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Apakah isu PTK dibangkitkan.KSN memanggil saya minggu lalu. Dalam pertemuan kira-kira sejam, beliau memberitahu bahawa PTK tidak boleh dimansuhkan kerana PTK dapat mengukur tahap kecekapan kakitangan. Kita bersetuju, tetapi selepas lulus PTK hingga tahap cemerlang dan tidak mendapat anjakan gaji, apakah matlamat kita? Kemudian dicadangkan supaya anjakan gaji dimansuhkan, iaitu lulus PTK hanya untuk kenaikan pangkat. Mana boleh! Kita berpendirian bahawa mereka yang lulus PTK dengan cemerlang wajar diberi anjakan gaji. Tujuan kita sejak dulu ialah jika tidak mendapat kenaikan pangkat, mereka boleh mendapat anjakan gaji. Sekurang-kurangnya gaji berubah kerana kita mahukan gaji. Rumusannya ialah perkara itu dibincangkan dengan JPA.
JPA membuat kenyataan bahawa PTK akan dipertahankan, tetapi pengubahsuaian boleh dilakukan.Kita bersetuju jika hendak mengubah kandungan PTK, tetapi perkara ini mesti dirunding terlebih dulu dengan Cuepacs. Apakah bentuk pengubahsuaian itu. Apabila tiba pada peringkat pelaksanaan, jabatan dan agensi akan mengikut pekeliling perkhidmatan awam yang ada. Mereka akan kata itu hanya cadangan dalam surat khabar. Jabatan dan agensi kerajaan mengikut JPA. Selagi tiada arahan hitam putih daripada JPA, perubahan tidak berlaku. Ini konsep pentadbir dalam kerajaan. Jika hendak diserahkan kepada jabatan dan agensi untuk merangka soalan PTK, mesti ada garis panduan. Dalam keadaan sekarang tidak menentu. Soalan kumpulan bawahan disediakan oleh kumpulan atasan yang tidak tahu mengenai pekerjaan itu. Mengapa ini berlaku? Buat soalan dapat elaun. Semua orang hendak buat soalan. Kalau soalan itu untuk kumpulan sokongan dua, kumpulan sokongan satu pun boleh buat soalan. Bagi kita peluang buat soalan, tetapi ini tidak berlaku. Cuba buat soalan tidak mendapat elaun, semua orang tidak mahu buat. Ini yang menyebabkan orang yang bukan dalam bidang pekerjaan itu membuat soalan. Katakan soalan berkaitan pemandu, kerja teknikal pun dimasukkan dalam soalan, mana dia boleh jawab.
Apakah cadangan Cuepacs untuk menyelesaikan kemelut PTK.Cadangan kita adalah seperti yang dikemukakan dalam memorandum yang dihantar bersama semakan gaji baru-baru ini, iaitu pembelajaran sepanjang hayat hingga bersara. Cuepacs menyedari keperluan kakitangan awam berilmu dengan penilaian dibut sepanjang masa dan bukan hanya dengan PTK yang belum tentu melahirkan kakitangan yang mempunyai prestasi kerja hebat. Kita sebenarnya boleh menggunakan mekanisme yang sedia wujud dalam perkhidmatan awam, iaitu kursus wajib sebanyak tujuh hari setahun, kursus induksi dan latihan yang sebenarnya lebih baik. Kita mencadangkan kursus induksi dikurangkan kepada hanya seminggu kerana apa yang diterangkan boleh diketahui dengan membaca. Kursus induksi boleh diadakan secara tahunan dan diambil kira untuk penilaian prestasi kakitangan. Kursus wajib tujuh hari juga boleh diambil kira. Kerajaan perlu memperuntukkan waktu untuk kakitangan menjalani latihan berkaitan pekerjaan mereka dan disediakan jadual setiap tahun untuk tujuan itu. Mereka yang mengikuti kursus ini akan dinilai. Baru kita tahu kebolehan mereka dan kakitangan pula berpuas hati. Cara ini membolehkan mereka mendapat ilmu, dinilai dengan adil dan kecemerlangan mereka terserlah. Ini adalah cadangan Cuepacs dalam memorandum semakan gaji.
Sudah tentu ini memerlukan perbincangan dengan JPA dan adakah sudah dilakukan usaha ke arah pertemuan itu.Kita memohon mengadakan perbincangan bersama JPA. Oleh kerana ada cadangan baru daripada Ketua Pengarah JPA sendiri, perkara ini perlu diperjelaskan kepada Cuepacs mengenai bentuk perubahan itu supaya kami dapat memperjelaskan kepada ahli gabungan. Hubungan majikan-pekerja mesti ada. Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah JPA, kita bersetuju dan selepas itu mesti ada tindakan susulan.
Apakah Cuepacs akan bertindak lebih agresif untuk menyelesaikan isu PTK.Agresif, tetapi bukan secara melulu. Kita mahu isu ini diberi perhatian lebih serius kerana Cuepacs berdiam diri selama 15 tahun. Dulu kita tidak menyentuh secara agresif mengenai PTK dan semakan gaji serta lebih banyak menjalankan tugas. Bagaimanapun, Cuepacs memikirkan perkara ini tidak diberikan perhatian selama 15 tahun, iaitu bermula dengan SSB pada 1992 diikuti SSM pada 2003. Kedua-dua skim tidak banyak perbezaan dan hanya ada pengubahsuaian, manakala kaedah pelaksanaan masih sama. Kita melahirkan keluhan demi keluhan, tetapi tidak diberi perhatian menyebabkan terpaksa bertindak agresif supaya mereka nampak masalah yang timbul. Bagaimanapun, tindakan ini bukan berbentuk konfrontasi. Jika hingga ke tahap pandangan kakitangan tidak diberi perhatian, apa yang boleh kita buat. Bagaimanapun, kita ada maruah dan JPA perlu mengambil kira kepentingan bersama. Kita mahukan hubungan majikan-kakitangan yang baik, maka kita perlu membuat keputusan bersama yang baik. Ini bukan lagi zaman penjajahan.
Apakah tiada langsung aspek positif dalam PTK.Jika PTK dilaksanakan dengan cara terbaik, kita nampak PTK memang menguji tahap kemampuan kakitangan, tetapi sistem itu mesti yang terbaik. Pelaksanaan mesti dilakukan dengan tersusun dan bukan timbul masalah berbulan-bulan hendak mendapat keputusan, lulus cemerlang tiada anjakan gaji dan penilaian prestasi diambil kira dalam kenaikan pangkat. Banyak perkara yang bercelaru. Masalah pilih kasih masih berlaku. A lulus PTK dengan cemerlang, manakala B gagal tetapi prestasi kerja bagus. B akan menjadi pilihan untuk memangku jawatan jika ketua jabatan mahukannya. Ketua jabatan mempunyai hak mutlak. Kadangkala penilaian dibuat berdasarkan cakap orang. Ini menyebabkan aspek penilaian prestasi juga menjadi satu masalah kerana tidak mengikut sistem dan tidak memanggil orang yang dinilai. Inilah perkara yang menjadi kerunsingan. Apabila saya pergi ke mana-mana, banyak yang memberi pandangan negatif. Walaupun ada yang memberi pandangan positif terhadap PTK, dia tidak melihat secara menyeluruh. Kita berdasarkan pandangan majoriti. Jika saya secara individu, PTK mungkin bagus apabila saya lulus, mendapat anjakan gaji dan kenaikan pangkat.