20 January 2010

Terengganu Buat Rombakan Besar Libatkan 48 Pegawai Tadbir

KUALA TERENGGANU, 20 Jan (Bernama)-- Kerajaan Terengganu membuat rombakan besar-besaran melibatkan 48 pegawai bagi memantapkan pentadbiran selain mengisi kekosongan jawatan, kata Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah pada Rabu.

Mazlan yang juga Pegawai Kewangan Negeri berkata semua pelantikan dan pertukaran jawatan itu berkuatkuasa 1 Feb ini.

Antara yang terlibat ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Adzlan Mohd Dagang yang akan saling bertukar jawatan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.

Turut terlibat ialah beberapa pegawai daerah iaitu Pegawai Daerah Dungun Zulkifli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur, sementara tempatnya diisi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Mustofa Abdul Rahman.

Tempat Mustofa akan diisi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husein Embong, katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail akan ditukarkan sebagai Pegawai Daerah Kuala Terengganu, menggantikan Datuk Mohd Alim Muda yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (Tesdec).

Pengarah Institut Integriti Negeri, Mohd Akil Mat pula akan mengisi jawatan Pegawai Daerah Setiu, manakala Pegawai Daerah Hulu Terengganu Aziz Mamat dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu, dan tempat beliau akan disi Pegawai Daerah Besut Wan Mohd Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar pula akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan tempatnya akan diganti Pengarah Yayasan Terengganu, Md Kamarul Al-Amin Ismail.

Sementara itu Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata pelantikan dan pertukaran jawatan tersebut dibuat berasaskan kemampuan dan merit pegawai terlibat.

Beliau juga menasihatkan pegawai yang berkenaan agar membuktikan keupayaan masing-masing dan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

"Bagi yang belum terpilih untuk kenaikan pangkat dan sebagainya, jangan berkecil hati kerana ada peluang lain," katanya sambil menambah masih terdapat 40 kekosongan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang akan diisi tidak lama lagi.

-- BERNAMA

No comments: