18 April 2008

Sistem Penilaian Tahap Kecekapan dikaji semula

Berita Harian

Oleh Azrina Ahzan


KEPUTUSAN DICAPAI: Abdullah sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi Cuepacs yang diketuai Omar (tiga dari kiri) di Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Mohd Sidek (tiga dari kanan).

Cuepacs akur penjelasan PM tolak tuntutan honorarium RM2,000

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia menimbang lima tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), termasuk mengkaji semula sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), tetapi menolak permohonan pembayaran honorarium RM2,000 kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan Majlis Tertinggi kongres itu yang berlangsung hampir sejam di Pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

Katanya, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan pada dasarnya bersetuju kaedah peperiksaan bagi menilai kakitangan awam menerusi PTK diubah seperti diminta Cuepacs dan Abdullah dijangka mengumumkan keputusan berhubung lima tuntutan Cuepacs itu tidak lama lagi.

"Abdullah yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pembayaran honorarium akan menyebabkan berlaku kenaikan harga barang, sekali gus menambah lagi beban orang ramai berikutan kenaikan harga beras dan tepung baru-baru ini.

"Cuepacs menerima penjelasan diberikan Perdana Menteri kerana kita perlu mengambil kira lima lagi tuntutan yang turut dikemukakan.

"Hasil perbincangan tadi menunjukkan perkembangan positif khususnya mengenai PTK yang akan menggunakan kaedah lain bagi menilai pencapaian kakitangan awam," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pertemuan itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Tuntutan lain Cuepacs ialah lanjutan umur persaraan wajib dari 56 tahun ke 58 atau 60 tahun; kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dari RM180 sebulan ke RM230; pembayaran elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik Februari lalu dan bayaran pencen mengikut tempoh perkhidmatan.

Ditanya kenapa Cuepacs mengubah pendirian berhubung pembayaran honorarium itu, Omar berkata, ia dibuat selepas mengambil kira lima lagi tuntutan yang mendapat maklum balas positif daripada Perdana Menteri.

"Kita setuju sebab kita kena fikir lagi lima tuntutan... jadi lebih baik kita buang satu. Apa yang dibincangkan hari ini (semalam) akan dibentangkan dalam mesyuarat khas kongres esok (hari ini) dan terpulang kepada mereka membuat keputusan, termasuk sama ada memboikot sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini," katanya.

Ditanya sama ada berlaku proses tawar-menawar antara Cuepacs dan kerajaan seperti jaminan bonus sebagai ganti honorarium, Omar berkata, pihaknya belum membincangkan soal bonus.

Berikutan pertemuan itu, Omar mengingatkan kakitangan awam meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta tidak mencampuri urusan politik semasa.

No comments: