27 May 2007

Laporan Khas: Gaji baru jana pertumbuhan ekonomi

Berita Harian


RM3.4 bilion dijangka masuki pasaran bagi tempoh enam bulan selepas 1 Julai

LEBIH sejuta kakitangan awam tersenyum gembira apabila gaji mereka dinaikkan. Peniaga pula pasti turut gembira kerana limpahan itu akhirnya akan mengalir ke kocek mereka juga. Tetapi, peniaga perlu mengelak daripada mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal pula menyatakan pihaknya akan mengumumkan nama dan lokasi premis perniagaan yang didapati menaikkan harga barang. Kita ingin melihat perkara itu dilakukan dengan seberapa segera, bukan setakat amaran atau sesuatu kenyataan yang dilihat gah di dada akhbar.

Pihak kementerian bukan saja perlu memantau, malah bertindak segera sebagai pengajaran kepada peniaga lain. Bagi kakitangan awam pula, termasuk polis dan anggota tentera, tiada alasan bagi mereka tidak memberi perkhidmatan terbaik sebagai balasan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan mereka.

Tetapi jika peniaga menaikkan harga barang sesuka hati, kenaikan gaji itu tidak akan membawa makna kerana kos sara hidup pasti turut meningkat. Dalam hal ini, Mohd Shafie perlu lebih bertegas mengerahkan pegawai penguatkuasanya di seluruh negara untuk mengekang sebarang percubaan peniaga yang tamak haloba.

Bayangkan, selepas 1 Julai ini apabila gaji baru itu berkuatkuasa dan untuk tempoh enam bulan selepas itu, RM3.4 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi kenaikan gaji, dijangka memasuki sistem ekonomi tempatan, selain RM600 juta bagi pembayaran Elaun Kos Sara Hidup (Cola).

Ia bermakna kuasa membeli akan meningkat secara mendadak dan mulai tahun depan RM6.8 bilion tambahan memasuki sistem ekonomi, bagi menampung kenaikan gaji itu. Keadaan ini sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

Setiap ringgit yang dibelanjakan di pasaran tempatan, memberi kesan gandaan kepada ekonomi kita dan ini boleh melonjakkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kenaikan gaji itu akan menyumbang kepada kenaikan 0.5 peratus pertumbuhan ekonomi tahun ini dan sekurang-kurangnya peratusan yang sama pada 2008.

Namun, katanya, kerajaan tidak akan meminjam dana untuk membayar kenaikan gaji itu kerana dana yang ada mencukupi.

Pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng, berkata kenaikan gaji kakitangan awam itu sudah pasti akan dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan kerajaan iaitu dua faktor yang dapat memberi kesan serta-merta untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Pertambahan perbelanjaan kerajaan pula secara langsung akan meningkatkan KDNK. Walaupun peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi pembayaran gaji akan meningkatkan defisit, ia masih terkawal,” katanya yang juga Ketua Ekonomi Rating Agency Malaysia Bhd.

Apabila kuasa membeli tinggi, peniaga juga meraih keuntungan dan ini secara tidak langsung juga menguntungkan kerajaan yang memperoleh 27 peratus menerusi cukai korporat iaitu setiap RM100 keuntungan, RM27 disalurkan kepada kerajaan.

Timbul pula persoalan sama ada bajet kerajaan selepas ini akan menyaksikan angka defisit. Namun bagi Yeah, jika dilihat daripada jumlah hutang kerajaan yang sederhana selain jangkaan pertumbuhan ekonomi, defisit dalam perbelanjaan kerajaan itu masih terkawal andai segala perbelanjaan diuruskan secara cekap.

Namun, perbelanjaan yang meningkat itu akan turut meningkatkan permintaan untuk barang, sekali gus boleh memberi kesan terhadap kadar inflasi.

Buat masa ini, inflasi kekal berada pada paras terendah dalam tempoh dua setengah tahun bulan lalu, iaitu pada 1.5 peratus, tidak berubah berbanding pada Mac. Berikutan itu, kadar inflasi negara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya berada pada paras 2.4 peratus.

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi, meningkat 3.2 peratus pada Januari dan 3.1 peratus pada Februari. Ia kemudian menurun dengan ketara kepada 1.5 peratus pada Mac. Kita berharap kadar rendah itu dapat dipertahankan selagi tidak berlaku kenaikan harga barang.

Antara faktor yang boleh menyebabkan IHP naik misalnya ialah kenaikan harga minuman dan makanan seperti peningkatan harga produk tenusu. Namun, kita yakin kenaikan gaji sektor swasta keseluruhannya tidak menyebabkan inflasi kerana banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada kenaikan itu. Bagi membendung inflasi daripada menyaksikan aliran menaik ialah memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang tanpa kebenaran kerajaan.

Kita berharap pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu kerap turun padang dan tidak salah jika mereka pergi ke pasar dengan cara menyamar sebagai pengguna.

Hanya menerusi tindakan pemantauan rapi dan heret peniaga tidak bertanggungjawab ke mahkamah, akan boleh meyakinkan kita betapa seriusnya usaha membanteras peniaga tidak bertanggungjawab.

Di sini juga orang ramai sebagai pengguna diharap boleh memainkan peranan untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa mana-mana premis perniagaan yang mengambil kesempatan. Mereka boleh pulaukan peniaga yang lincah mengaut keuntungan berlebihan. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk pegawai penguat kuasa lebih tegas tanpa rasa takut dan gentar berdepan peniaga yang degil, kita yakin ekonomi kita akan terus berkembang dalam keadaan bajet tidak berdefisit bagi kerajaan, kadar inflasi rendah dan harga barang berpatutan. Jika tidak, kenaikan gaji tidak mungkin dirasai kerana tekanan harga barang yang turut naik, yang kita harap tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, kenaikan gaji itu juga dijangka mencetuskan minat baru di kalangan orang ramai untuk menyertai perkhidmatan awam, tentera atau polis terutama lepasan universiti kerana gaji permulaan kini dikatakan melebihi paras pasaran biasa.

No comments: