10 May 2007

Kabinet arah JKR siasat segera bangunan rosak


Jawatankuasa khas audit premis pentadbiran di Putrajaya ditubuh

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempercepatkan siasatan terhadap beberapa bangunan kerajaan yang mengalami kerosakan, selain meluluskan cadangan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengaudit premis seumpama itu di Putrajaya.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata beliau sudah menyerahkan laporan awal untuk diteliti jemaah menteri, semalam dan akan disusuli butiran lengkap merangkumi siasatan terperinci berhubung kedudukan terkini semua bangunan kerajaan, terutama di Putrajaya.

“Pada masa sama, Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan), mengesyorkan penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Audit Negara bagi membuat penilaian terhadap semua bangunan kerajaan di Putrajaya, termasuk anggaran kerosakan dan kos baik pulih.

“Kementerian sudah menyelaras sekumpulan pakar dalam pelbagai aspek pembinaan bagi memeriksa dan mengemukakan cadangan baik pulih bagi semua bangunan kerajaan di Putrajaya. Kita anggarkan proses ini akan menelan belanja RM22 juta.

“Kabinet mahu semua ini dilakukan segera mungkin, tetapi kita tidak menetapkan tempoh tertentu,” katanya pala sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet, di kementeriannya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu runtuhan siling dan kesan retakan pada dinding di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, sambungan paip patah di Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, di Putrajaya serta runtuhan kepingan dan kerangka keluli pengikat siling kaca lepa di Dewan Serba Guna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, juga di Putrajaya, baru-baru ini.

Mengenai kerosakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Samy Vellu berkata, kontraktor berkenaan, Johawaki Sdn Bhd (Johawaki) sudah diarah melaksanakan kerja baik pulih membabitkan kerosakan pada plaster luaran penyambungan pembesaran dan tidak menjejaskan struktur bangunan.

Katanya, Johawaki perlu melakukan kerja baik pulih kompleks itu yang kini masih dalam tempoh tanggungan kerosakan dan JKR boleh menggunakan deposit Johawaki untuk menanggung segala kos pembaikan terbabit jika syarikat itu enggan menunaikan tanggungjawab.

Berhubung kebocoran siling di bangunan Parlimen pula, beliau menjelaskan, kakitangan JKR sudah dikerah memeriksa puncanya dan melakukan kerja baik pulih secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Samy Vellu turut mengumumkan pelantikan lima pegawai kanan baru Kementerian Kerjaraya berkuat kuasa 3 Mei lalu, iaitu Ketua Pengarah JKR, Datuk Dr Judin Abdul Karim dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohamad Razali Othman.

Tiga lagi pelantikan baru membabitkan Timbalan Ketua Pengarah I JKR, Datuk Mohamad Husin; Timbalan Ketua Pengarah II JKR, Datuk Mohd Noor Yaakob dan Timbalan Ketua Pengarah III JKR, Selvanayagam P Nagalingam.

No comments: